Menegakkan Agama dan Mentadbir Dunia dengannya

12:08:00 AM | Posted in

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (kaaffah), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqaah: 208)


Dalam Tafseer Jalalain, kaaffah dalam ayat di atas merujuk kepada keadaan keIslaman yang perlu diamalkan iaitu keseluruhan syariatnya. Dengan ini kita jelas, seruan Allah adalah untuk orang-orang yang beriman untuk mengamalkan segenap syariatnya dan tidak menceduk-ceduk atau mengambil sebahagiannya sahaja. Seruan ini memerlukan tadabur yang mendalam kerana walaupun seseorang itu telah beriman, kecenderungan untuk tidak mengikuti keseluruhan Islam itu tetap ada dan lantaran itulah seruan Allah dijelaskan dalam ayat ini.

Apabila kita memerhati konsep keseluruhan, ia tidak dapat lari dari konsep sistem atau nizoom. Hatta dalam memperkatakan tentang Islam, ia sering dikaitkan dengan nizoom-ul-hayaah (sistem kehidupan). Islam bukan sekadar ritual ibadah yang sekadar ke masjeed atau membaca Yasin ketika nazak. Islam mencakup semua perkara dengan komponen di dalamnya yang saling berkait. Kumpulan komponen yang saling terkait inilah yang dinamakan sistem.

Pemahaman sistem ini amat penting kerana arus kebangkitan dunia kini menuju ke arah satu perubahan baru yang amat cepat dan berbeza. Jika Gelombang Pertama dikaitkan dengan Era Pertanian, Gelombang Kedua dikaitkan dengan Era Perindustrian dan Gelombang Ketiga dikaitkan dengan Era Tekonologi Maklumat - sebagaimana dinyatakan oleh pakar penganalisis masa depan, Alvin Toffler- Gelombang atau Arus Keempat yang sedang bergerak ke arah masyarakat dunia ialah Era Bioteknologi dan Pemikiran Sistemik. Mengapa terjadi sedemikian?


Tidak lain tidak bukan kerana budaya dan perspektif masyarakat di dunia sedang dan akan berubah dengan pelbagai perkara yang berlaku di sekitar seperti Peristiwa 11 September, peperangan, kajian Human Genom Project dan banyak lagi hal yang memerlukan pemahaman secara keseluruhan atau sistem pada perkara yang berlaku.

Atas dasar itu, Pemikiran Sistemik menjadi maudhuk atau topik tulisan saya lantaran hal ini amat penting bagi memastikan pemikiran dan psikologi kita bersedia menerima zaman baru tersebut.Lebih penting dari itu, Pemikiran Sistemik adalah manifestasi pemahaman idea Islam secara kaaffah dan syumul yang perlu dijana oleh umat Islam kini.

Sememangnya Islam telah syumul. Tapi, jika akal yang menanggapi Islam itu tidak kaaffah atau syumul, ia akan mewujudkan masalah dalam masyarakat kita sehingga hilang pedoman memahami apa yang berlaku dan gagal mengamalkan ajaran yang diletakkan oleh Allah dalam al-Quran dan Sunnah secara efisien.

Jika di Barat, Pemikiran Sistemik ini lebih dikenali dengan Systems Thinking atau Systemic Thinking. Antara pengarag yang terkenal yang mula memperkenalkan idea ini semula ialah Peter M Senge dalam bukunya The Fifth Discipline. Namun, disebabkan sumber bukan berasal dari orang Islam, bahasannya hanyalah sekadar dalam bab sosial dan pengurusan tanpa mampu mengetengahkan idea yang benar-benar lengkap dalam Islam. Walau bagaimananapun, jika diperhatikan isi kandungannya, secara tidak langsung ia akan mengetengahkan satu sistem nilai yang sebenarnya dipunyai oleh Islam dan perlu kita amalkan dengan yakin dan teguh. Sememangnya 'hikmah itu adalah barangan yang hilang dari orang Islam. Sesiapa yang menjumpainya , maka ia lebih berhak ke atasnya'.

Beberapa fenomena sedang dan akan terjadi dalam dunia sekarang mengiakan kedatangan Arus Dunia Keempat. Antaranya:


Masyarakat mencari agama dan nilai spiritual
Penggunaan akan digantikan dengan bertambahnya aspek GAIA
Materialisme dan saintisme akan jatuh
Institusi akan menuju ke arah sahutan servis global
Kekayaan akan diberi definisi semula, terutama dalam sistem akaun
Sempadan yang tidak ketara akan muncul di antara dunia korporat dan kehidupan persendirian
Servis tanpa kepentingan bukan sekadar menjadi retorik dalam agama, tetapi akan muncul sebagai paradigma kepada manusia biasa
Agama akan 'menyaingi' sains


Daripada beberapa ciri di atas, masyarakat sebenarnya menuju ke arah satu gaya hidup yang syumul dan sistemik. Perlu dijelaskan, sistemik dan sistematik adalah dua istilah yang berbeza. Sistemik adalah kaedah memandang sesuatu secara keseluruhan manakala sistematik adalah kaedah memandang sesuatu secara berturutan atau berdikir-dikit. Definisi ini perlu jelas kerana trend pemikiran manusia kini ialah sistematik dan kurang kepada sistemik. Manakala di zaman awal manusia, terutama ketika kegemilangan Islam di zaman Rasulullah dan sahabat, mereka lebih ke arah perspektif sistemik atau secara keseluruhan. Itulah sebabnya, mereka mampu mengamalkan Islam secara kaaffah kerana beberapa ciri yang mereka amalkan menunjukkan pemahaman idea sistem dalam hidup mereka, walaupun tidaklah secara formal.

Pemikiran atau pendekatan sistematik dalam kehidupan adalah bagus kerana ia melibatkan analisis atau kajian dalam hidup kita. Manusia memang mampu menganalisis kerana ia melibatkan pemahaman hal di sekitar dalam bentuk juz'iyyat (terbahagi-bahagi). Namun, pendekatan sistematik yang berkaitan dengan analisis ini perlu dikembangkan dengan sintesis yang wujud dalam pemikiran sistemik. Betapa ramai di kalangan kita yang mampu menghargai keindahan pelangi tanpa memandangnya secara keseluruhan? Betapa ramai yang hanya menganalisa warna pelangi secara juz'iyyat dan akan terserlah warna pelangi hanya dengan memerhati warna birunya sahaja? Tentu tidak mungkin. Yang menjadikan kita dapat menghargai pelangi dan refleks kepada kebesaran Allah adalah disebabkan selepas kita menganalisa warna yang pelbagai tersebut, ia perlu disintesiskan atau digabungkan untuk mendapat perspektif atau pandangan secara keseluruhan. Itulah sistemik!

Jika dalam kehidupan kita, banyak hal dapat dirasakan 'manisnya' kerana kita memandang secara keseluruhan, mengapa masih ramai lagi yang mahu berfikiran sistematik tanpa meneruskannya dengan pandangan sistemik? Bukankah itu lebih baik?

Sudah tentu kita mahu berfikiran sistemik tetapi ramai yang tidak perasan atau tidak mahu mengamalkannya kerana pemikiran sistemik memerlukan akal yang saleem untuk menggabungkan banyak perkara untuk proses sintesis atau penggabungan. Analisis mungkin sekadar memerlukan kerja selama 1 jam, tetapi sintesis mungkin melibatkan kerja 2 jam untuk mengkaji dan membuat kesimpulan. Inilah salah satu sebab pemikiran sistemik tidak dominan, padahal ia memberi kesan yang amat besar.

Di kalangan umat Islam, pemikiran sistemik ini mungkin kurang kerana kita sering terpengaruh dengan kaedah berfikir secara konvensional tanpa terperasan roh Islam itu adalah dalam bentuk sistem dan bukan terpecah-pecah. Jika tidak, pasti Allah tidak perlu mengingatkan hamba-Nya yang beriman betapa penting untuk masuk ke dalam Islam itu secara kaaffah.

Dengan itu, jelaslah pada kita, Pemikiran Sistemik bukanlah sekadar bahan tulisan retorik tetapi bersangkut paut seruan untuk kita sama-sama mendalami ciri-cir pemikiran dalam diri manusia yang punya banyak kekuatan dan kelemahan. Setelah mengetahui ciri-ciri akal, kita perlu mendalami apakah sunnatullah pada sistem kita di sekeliling dan sistem tubuh badan kita sehingga kita mampu berinteraksi dengan komponen lain dengan efisien lantas memaksimumkan potensi yang Allah berikan. Hanya kita di kalangan jin dan manusia sahaja yang tidak benar-benar patuh pada Allah kerana ketaatan kita pada-Nya adalah dengan pilihan padahal makhluk lain telah menyerah diri pada-Nya tanpa pilihan (karhan). Bagi memastikan sistem alam ini stabil di dunia dan akhirat, perlulah kita mengikut sunnatullah atau kita akan terseksa kerana tidak mengikuti-Nya. Allah berfirman:

"Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka (tau'an) maupun terpaksa (karhan) dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan."(Ali Imran:83)

(Artikel tulisan kolumnis Fazrul Ismail, di Majalah i Disember 2003 terbitan Karangkraf)
��

Comments

0 responses to "Systemic Thinking in Islam"