Ada suatu istilah dalam psikologi yang dinamakan Kesan Pygmalion (Pygmalion Effect). Secara ringkas, kesan ini merujuk kepada situasi di mana beberapa orang pelajar menunjukkan prestasi dalam akademik yang lebih baik daripada pelajar yang lain hanya disebabkan mereka dijangka untuk perform dengan lebih baik. Ia menjelaskan bagaimana harapan kita pada orang lain mewujudkan kepercayaan yang kita inginkan.
Pada tahun 1957, seorang professor sosiologi di Universiti Columbia yang bernama Robert Merton telah memperkenalkan fenomena psikologi ini melalui kajiannya. Dalam kajiannya, seorang guru telah diarahkan untuk mengajar sebuah kelas pelajar-pelajar yang bijak, walhal dia tidak diberitahu bahawa pelajar-pelajar dalam kelas tersebut sebenarnya merupakan pelajar-pelajar yang rendah IQnya. Malah lebih teruk lagi, mereka juga merupakan pelajar-pelajar yang bermasalah dan banyak melakukan kekecohan dalam sekolah.
Apabila guru tersebut mula mengajar di kelas tersebut, dia mendapati semua arahannya tidak diikuti oleh pelajar-pelajar tersebut. Namun disebabkan dia percaya bahawa mereka semua pelajar yang pintar, maka dia beranggapan bahawa dialah yang bermasalah dan bertanggungjawab terhadap pelajarnya, bukan mereka yang bermasalah. Mungkin cara dia mengajar bosan dan tidak dapat menarik minat atau perhatian mereka.
Atas dasar kepercayaan itu, maka guru tersebut telah menjalankan beberapa eksperimen dalam method pengajarannya. Dia mula memberikan galakan kepada pelajar-pelajarnya, mencabar minda mereka dengan permainan-permainan akademik dan menumpukan seluruh perhatiannya kepada pembelajaran mereka khususnya di dalam kelas. Semakin dia menganggap mereka pintar, mereka semakin memberikan tindak balas positif.
Pada akhir penggal persekolahan, gred mereka meningkat secara mendadak. Suatu ujian IQ dijalankan terhadap mereka dan didapati rata-rata IQ mereka meningkat 20 hingga 30 mata. Guru itu berjaya menjadikan mereka pelajar yang pintar!
Merton dalam tulisannya yang bertajuk Teori Sosial dan Struktur Sosial berkata fenomena ini berlaku kerana ‘definisi palsu sesuatu situasi itu membangkitkan perilaku baru sehingga menyebabkan kapelasuan itu menjadi nyata’.
James Rhem, editor eksekutif bagi National Teaching and Learning Forum telah mengatakan:
"When teachers expect students to do well and show intellectual growth, they do; when teachers do not have such expectations, performance and growth are not so encouraged and may in fact be discouraged in a variety of ways."
"How we believe the world is and what we honestly think it can become have powerful effects on how things turn out."
Komentar saya, dari sudut pembelajaran di dalam kelas. Jikalau dibaca semula kajian di atas, cuba kita fikirkan, berapa ramai pelajar yang dikategorikan sebagai lembab atau kurang pandai tidak mampu meningkatkan prestasi mereka disebabkan sikap guru yang mahu tidak mahu sahaja mengajar mereka. Ini bukanlah suatu kritikan terhadap guru-guru, tetapi untuk kita fikirkan bersama dan ambil tindakan yang sewajarnya.
Kita sekarang ini amat memerlukan pelajar-pelajar yang mempunyai kekuatan dari sudut intelektual, mahupun sahsiah dan akhlak. Mungkin inilah peluang untuk mendidik mereka dengan mengubah cara kita memandang dan membuat jangkaan terhadap para pelajar, agar mereka mendapat didikan yang terbaik lantas melonjakkan kecemerlangan mereka.
WaLlahu a`lam.
Rujukan:
1. Master Your Mind Design Your Destiny, Adam Khoo dan Stuart Tan, terbitan PTS Millennia Sdn Bhd 2008
5th May 2009
0 responses to "Pygmalion Effect"