Menegakkan Agama dan Mentadbir Dunia dengannya


1:32:00 AM | Posted in
dipetik daripada: http://cas2ry.multiply.com/journal

SETIAP kali sambutan Maulidur Rasul, tiba-tiba hati kita sayu diramas rindu kepada Baginda SAW. Emosi semakin memuncak mencari-cari kenangan terindah yang ditinggalkannya.

Kalaulah kita dapat memiliki jiwa selembut Imam Malik Rahimahullah yang terus menerus mengajarkan kalimah peninggalan kekasihnya Muhammad SAW, beliau membacakan hadis Baginda kepada muridnya sambil menitiskan air mata menanggung kerinduan, membela ajarannya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Kekuatan rindu itu mengalahkan kesakitan yang beliau deritai ketika seekor kala menyengat sebelah kakinya. Imam Malik Rahimahullah tidak berganjak daripada majlisnya dan masih meneruskan pelajaran hadis yang sedang dibaca.

Seorang anak muridnya bertanya kepada beliau, mengapa tidak memberhentikan pengajian sementara beliau mengambil ubat. Imam Malik berkata: “Apakah begitu yang disebut kerinduan kepada Rasulullah SAW?”

Betapa hebatnya pengaruh hadis Rasulullah SAW kepada hati seseorang mukmin. Apabila kita mendengar sebuah hadis dibacakan ataupun sekiranya kita adalah seorang yang sedang mengajar hadis, pernahkah kita rasai bahawa keadaan ini adalah sedekat-dekatnya kepada Baginda SAW.

Alangkah bahagianya jika kita juga memiliki jiwa seperti Muaz Jabal yang dekat dan rapat dengan Rasulullah SAW.

Beliau memiliki kulit yang sentiasa bersentuhan dengan kulit Rasulullah SAW, tangan beliau pernah dipimpin oleh Baginda, wajahnya ditumpahi kasih sayang seorang Nabi SAW.

Saat beliau diutus ke Yaman sebagai pendakwah Islam di sana, Baginda Rasulullah SAW mengusap air matanya sambil bersabda yang bermaksud: “Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Jawab Muaz: Hamba sedih berpisah denganmu wahai Rasulullah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan sedih wahai Muaz, sesungguhnya kesedihan itu sebahagian daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Iringi keburukan itu dengan kebaikan nescaya keburukan itu dihapus oleh kebaikan dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Betapa beruntungnya memiliki ketaatan kepada Rasulullah SAW seperti taatnya sahabat, Hakim Hizam. Beliau adalah seorang yang baru memeluk Islam, hidup pada zaman Islam memperoleh kekayaan yang melimpah kerana ghanimah yang didapati dalam peperangan.

Suatu hari selepas perang Hunain, Hakim menghadap Rasulullah SAW untuk meminta harta rampasan perang.

Dia berkata: “Wahai Rasulullah, berilah aku sesuatu!” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu melihat seluruh kambing yang berada di lembah itu? Sesungguhnya itu semua adalah milik kamu.

Kemudian dia datang lagi dan meminta kepada Baginda untuk kali kedua. Rasulullah SAW memberinya 100 ekor unta. Hingga kali ketiga dia datang dan meminta. Rasulullah SAW juga memberinya 100 ekor unta lagi. Tidak puas dengan pemberian itu, Hakim mencuba meminta kepada Baginda SAW sekali lagi. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini umpama rerumputan yang hijau, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

Hakim berasa malu dan berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, demi Allah aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapapun selepas ini dan aku tidak akan menerima pemberian sesiapa lagi.”

Janji dan ketaatan Hakim kepada Rasulullah SAW tetap digenggam hingga ke akhir hayatnya. Beliau tidak pernah meminta dan tidak mahu menerima pemberian orang selepas kejadian itu.

Begitulah kehebatan didikan Rasul yang hanya meninggalkan ilmu dan agama kepada umatnya. Walaupun harta dan dunia berada di tangannya, musuh menyerah diri di bawah kekuasaannya.

Namun begitu, Baginda makan di atas tanah bersama hamba. Menangis pada malam yang gelap ketika mendengar seorang wanita tua membaca ayat mengenai hari kiamat. Baginda amat menyukai sujud, meletakkan wajah di atas tanah kerana mahukan Allah Taala sentiasa berada dekat bersamanya.

Hati siapa tidak terbius oleh sirahnya yang harum, mengingati keistimewaan peribadi seorang insan bernama Muhammad SAW. Tidak kira hati itu milik siapa, mukmin atau munafikin bahkan kafir laknatullah juga tersentuh oleh keagungan Baginda SAW.

Seorang orientalis terkenal, Goldzhiher menyatakan: “Tidaklah menghairankan jika Muhammad menjadi seorang Nabi, kerana Isa dan Musa juga Nabi. Sesungguhnya yang menghairankan adalah beliau menetap selama 40 tahun di Makkah tanpa belajar sama sekali di sekolah atau berguru dengan seorang guru.

Kemudian selepas 40 tahun, beliau tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberi fatwa terhebat, pensyarah ternama di mimbarnya, orang yang paling petah bercakap, pemimpin serta pendidik teragung di dunia ini. Inilah yang paling menghairankan mengenai Muhammad.”

Ketika ini, masih adakah kebanggaan yang tersisa sebagai umat Muhammad SAW, jika anak kita malu berimejkan Islam dan belajar sembahyang. Agama dipisahkan daripada kehidupan dunia.

Kita semakin asyik melayan kehendak diri tanpa menimbang inikah jalan yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Sementara orang mengaku kuat beragama pula tertipu oleh ilmunya dan menjauhkan diri daripada perjuangan sebenar membela Islam.

Cukupkah cinta ini tanpa berbuat sesuatu yang membuktikan ia adalah cinta sebenar? Betapa pentingnya pembuktian kerana cinta ini bukan khayalan semata-mata.

Abu Musa al-Asy’ari berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: Bagaimana jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya di akhirat.”

Wahai Rasulullah SAW, layakkah hamba berdampingan denganmu? Soalan sebegini sepatutnya sering berlegar di ruang minda kita setiap masa.

Jangan ditunggu sekali setahun untuk menyatakan kasih kepada Baginda SAW. Takut terlepas pula sayang Rasulullah SAW kepada kita.

Sungguh beruntung Sawwad Ghazwah yang ketika nyawanya hendak berceraidaripada badan pada peperangan Badar, Rasulullah SAW datang memeluk tubuhnya.

Sungguh tiada kenikmatan yang melebihi nikmatnya bersentuhan dengan Rasulullah SAW. Tiada ubat penawar yang dapat menyembuhkan selain usapan tangan Baginda SAW ke atas luka yang menganga.

Rasulullah SAW memujuk: “Mengapa kamu menangis wahai Sawwad? Tiada kalimah lain yang paling bermakna untuk menyatakan cinta sejati kepada Muhammad SAW selain jawapan: “Wahai Rasulullah, sudah datang apa yang engkau lihat, kerana itu aku ingin menyentuh kulitmu dengan kulitku sebagai akhir perjanjian denganmu.”

Sebuah janji kepada Rasulullah SAW untuk sehidup dan semati tetap mencintai. Alangkah bahagianya hidup ini seandainya kita memiliki impian seperti seorang yang bernama Sawwad. Sebagai muslim sejati, kita perlu mencontohi peribadi Nabi Muhammad SAW.
Petikan daripada : Berita Harian
Sekadar renungan bersama.. waLlahu a`lam..
Category:
��

Comments

0 responses to "Cinta kepada Rasul"